KUALA LUMPUR: Polis berjaya menahan tiga lelaki dipercayai memiliki dan menjual hidupan liar tanpa lesen dan pemilikan senjata api buatan sendiri dalam serbuan berasingan di Perak semalam dan kelmarin.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata serbuan tersebut berjaya menghasikan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM717,500 bagi burung murai batu, sangkar dan burung pelbagai jenis, senjata api dan daun ketum.

"Kedua-dua penahanan ini dilakukan oleh Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK), Pasukan Gerakan Khas (PGK) dan JKDNKA bersama Jabatan Perhilitan yang bertindak atas maklumat risikan.

"Empat serbuan dilancarkan ke atas sindiket menjual hidupan liar pada 31 Mei lalu, manakala tiga serbuan di kawasan Bukit Merah, Perak dengan berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 44 tahun serta merampas sejumlah 72 burung murai batu dan 47 sangkar burung dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM694,500," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata semalam CPSK dan PGK melakukan serbuan lain di kawasan Gerik, Perak dengan berjaya menahan dua lelaki warganegara Thailand berusia 33 dan 37 tahun dan merampas sejumlah empat burung pelbagai jenis.

Hazani berkata selain itu, terdapat rampasan lain iaitu tiga senjata disyaki senapang patah, dua Bakakuk, satu pistol tiada jenama, lima busur panah silang, 25 peluru penabur dan satu beg plastik lutsinar disyaki daun ketum anggaran 300 gram dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM23,000.

Menurutnya, kesemua suspek telah ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Perak dan IPD Gerik di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.

Mengulas lanjut, beliau berkata kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pind. 2002).

"Polis percaya tangkapan ini hanya sebahagian daripada mereka yang masih bebas serta bergerak aktif memburu haiwan dilindungi dan kami akan terus menjejaki saki-baki anggota sindiket ini," katanya.

-- BERNAMA